top of page

DBKK, MRF Lancar Kapal ‘Mobula 8’ Tangani Pencemaran Plastik

  • nabalunews
  • May 8
  • 1 min read


8 Mei 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Marine Research Foundation (MRF) telah melancarkan sebuah kapal skimmer ‘Mobula 8’ bagi menangani pencemaran plastik di perairan sekitar bandar raya ini.


Pelancaran kapal mengumpul dan membuang sisa plastik berkenaan berlangsung semalam di Gaya Island Resort dan disempurnakan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.


Dr. Sabin berkata, inisiatif itu merupakan bukti signifikan DBKK dalam menangani ancaman pencemaran marin yang semakin meningkat, sekali gus memelihara kelestarian alam sekitar di Bandaraya Kota Kinabalu.



“Kapal skimmer ini merupakan antara inisiatif utama di bawah Marine Plastics Cleanup Project, sebuah kolaborasi di antara DBKK dan MRF dalam melaksanakan pendekatan strategik dan berasaskan sains bagi pengurusan sisa marin,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRF dan Gaya Island Resort (GIR), masing-masing diwakili oleh Pengasas dan Pengarah Eksekutif MRF, Dr. Nicolas J. Pilcher dan Pengarah Pemuliharaan GIR, Encik Justin Juhun.


Sementara itu, DBKK memaklumkan, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan dalam menangani pencemaran plastik antaranya kempen “Hari-Hari Bawa Beg Bah” bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh bandar raya.



Selain itu, katanya, penubuhan Pusat Lestari Kota Kinabalu membolehkan orang ramai mengitar semula barangan terpakai, sisa elektronik dan minyak masak terpakai.


Terdahulu, DBKK telah menandatangani MoU pada 9 April lalu bersama MRF, Legenda Bumimas Sdn. Bhd. dan My Protech Sdn. Bhd (Arus Oil) bagi menangani isu pencemaran alam sekitar secara strategik dan berimpak tinggi.


“DBKK berharap kerjasama berterusan dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan terus diperkukuh dalam menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page