Dua blok rumah pekerja dan lima kenderaan di Nabawan musnah dalam kebakaran
- nabalunews
- Aug 4, 2025
- 1 min read

4 Ogos 2025
NABAWAN: Dua blok rumah pekerja musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi di Pandewan Palm Oil, Jalan Kampung Pandewan, Nabawan, melibatkan 10 pintu kediaman dan lima buah kenderaan.
Menurut Komander Operasi, PB Jojie Ladius, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1:00 pagi sebelum jentera bomba tiba di lokasi sejauh 26 kilometer pada jam 1:30 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua blok rumah pekerja jenis separuh kekal bersaiz keseluruhan 150x200 kaki dan didapati terbakar 100 peratus termasuk lima buah kenderaan,” katanya.
Tambah beliau, operasi memadam kebakaran melibatkan tujuh anggota bomba menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dan dua pancutan air yang disalurkan daripada jentera bomba.
“Pasukan bomba menggunakan teknik ‘defensive’ bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” jelasnya.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 2:15 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 4:47 pagi selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan dan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.















Comments