Dua kampung baharu diwartakan di DUN Bingkor
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

30 September 2025
KENINGAU: Dua perkampungan baharu diwartakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor iaitu Kampung Ria Atas dan Kampung Kapayan Lama Apin-Apin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, pewartaan kedua-dua kampung ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf hak serta kedudukan penduduk kampung.
Katanya, pewartaan ini akan membuka lebih banyak ruang pembangunan infrastruktur asas, selain memberi manfaat dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di dua kampung tersebut.
“Saya berharap agar penduduk Kampung Ria Atas dan Kampung Kapayan Lama Apin-Apin dapat memanfaatkan pewartaan ini dengan sebaiknya" katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Warta Perkampungan bagi Kampung Ria Atas dan Kampung Kapayan Lama Apin-Apin yang berlangsung di perkarangan rumah Andrew Badsut di Kampung Ria Atas.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.40 Bingkor, Junior Fred Vincent.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dalam ucapannya turut menyeru agar penduduk di kedua-kedua kampung itu terus bersatu, kekalkan keharmonian dan jadikan kampung sebagai contoh kepada kawasan lain dalam aspek pembangunan dan permuafakatan.
Sementara itu Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri (MAN) DUN N.40 Bingkor, OKK Daniel Palangi, menyeru agar seluruh penduduk Kampung Ria Atas yang baru diwartakan ini terus bersatu padu, berganding bahu dan mengelakkan perpecahan demi mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni serta menjadi tunjang permuafakatan kejiranan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pemimpin yang telah berusaha merealisasikan pewartaan kedua-dua kampung ini, khususnya kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan dan ADUN Bingkor Datuk Robert Tawik.
Beliau turut menghargai usaha dan kegigihan Andrew Badsut menguruskan proses pewartaan sehingga berjaya direalisasikan.
Majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin masyarakat kawasan Bingkor.
Dengan pewartaan ini, seluruh penduduk Kampung Ria Atas dan Kampung Kapayan Lama Apin-Apin diharapkan ia akan menjadi titik tolak kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Comments