Empat Ditahan, 24 Notis Saman Dikeluarkan
- nabalunews
- Oct 5
- 1 min read

5 Oktober 2025
TAWAU: Empat lelaki ditahan dan 24 keping notis saman trafik dikeluarkan dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan Batu 12, Jalan Apas, awal pagi tadi.
Operasi selama tiga jam sehingga 3 pagi itu dilaksanakan dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Operasi turut dibantu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) dan Balai Polis Bandar Sri Indah

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Katanya, ia juga bagi membanteras aktiviti lumba haram yang sering menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“Empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Selain itu, sebanyak 24 keping notis saman trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan beberapa kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi turut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan jenayah narkotik serta pengawasan terhadap kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Katanya, ia berikutan laluan berkenaan merupakan antara akses utama dari daerah persempadanan menuju ke Tawau.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan masyarakat, khususnya golongan muda agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian kenderaan secara haram yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan awam.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti mencurigakan, penyalahgunaan dadah serta kehadiran PATI bagi membantu pihak polis mengekalkan keamanan di daerah Tawau,” tegasnya.


















Comments