nabalunews
Enam anggota Malbatt cedera terkena serpihan letupan di Lubnan
8 November 2024
KOTA KINABALU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggotanya cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1.54 tengah hari Khamis waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Markas ATM dalam kenyataan malam tadi berkata, letupan berkenaan menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Akibat kejadian itu, seramai enam anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan.
Mereka terdiri lima anggota Malbatt 850-12 yang mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
“Manakala seorang lagi melibatkan anggota Malbatt 850-11 juga mengalami cedera ringan.
“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata kejadian berpunca daripada serpihan letupan sebuah kereta yang belum diketahui puncanya sama ada akibat tembakan daripada dron atau pesawat pejuang Israel.
"Serpihan letupan berkenaan telah menyebabkan cermin depan dan belakang sebuah daripada bas yang membawa rombongan MALBATT 850-12 pecah dan menyebabkan enam anggota cedera termasuk anggota pengiring MALBATT 850-11," katanya.
Mohamed Khaled berkata kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) membuat keputusan untuk berundur.
Katanya buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.
Beliau berkata keadaan yang berlaku sekarang adalah situasi sama ketika negara mula menghantar pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) buat kali pertama ke sana bagi tugasan pengaman.
Mohamed Khaled berkata pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan UNIFIL bagi mengetahui situasi semasa di kawasan berkenaan selain berbincang dengan negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke sana.
"Bukan pasukan MALBATT sahaja yang berhadapan dengan serangan malah pasukan dari negara lain seperti Indonesia dan Ireland turut menghadapi situasi yang sama.
"Ia menjadi reputasi negara untuk terus bersama-sama dengan pasukan pengaman UNIFIL yang dianggota lebih 40 negara bagi menjaga keamanan di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi bagi mengulas situasi terkini anggota MALBATT di Lubnan.
Rabu lalu, penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 November hingga 18 November ini.
Comments