Erat Silaturahim Menerusi Sukan Memanah
- nabalunews
- Dec 27, 2025
- 1 min read

27 Disember 2025
BEAUFORT: Sukan memanah bukan saja mampu meningkatkan kecergasan minda malah ia juga berperanan dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pendidik.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia lebih terserlah secara khusus menerusi penganjuran pertandingan yang bersifat inklusif dan berunsur sukan warisan.
Katanya, penglibatan warga pendidik dalam aktiviti sukan seperti memanah bukan sahaja memberi manfaat dari aspek fizikal, malah membantu membentuk disiplin diri, fokus dan ketenangan mental.

“Sukan memanah memerlukan tahap konsentrasi yang tinggi serta kawalan emosi, sekali gus menjadi medium terbaik untuk merehatkan minda daripada rutin tugas harian dalam bidang pendidikan.
“Selain aspek kesihatan, pertandingan sebegini turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga pendidik dari pelbagai daerah, seterusnya mewujudkan semangat kebersamaan dan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Memanah Tradisional dan Moden Tertutup Kakitangan Pendidikan Negeri Sabah 2025 di Kolej Vokasional Beaufort di sini pada Sabtu
Ruslan berkata, interaksi melalui aktiviti sukan dapat memupuk nilai kesukanan, saling menghormati serta kerjasama yang positif dalam kalangan peserta.
Sementara itu, Ruslan berkata, penganjuran sukan memanah dilihat mampu memperkenalkan dan memartabatkan sukan tradisional kepada generasi muda.
Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada pembentukan jati diri dan pemeliharaan warisan budaya.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk melahirkan warga pendidik yang seimbang dari segi fizikal, mental dan sosial,” katanya.


















Comments