top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang dasar pandang ke Timur dalam negara, tumpu potensi Sabah, Sarawak


Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

25 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar kerajaan tampil dengan fokus tambahan serta ‘dasar pandang ke Timur dalam negara’ iaitu membangunkan potensi ekonomi dan keusahawanan di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak.


Menurut beliau, pentadbiran terdahulu pernah menjadikan negara Jepun sebagai asas dan contoh pembangunan melalui dasar pandang ke Timur.


“Jika Indonesia boleh meletakkan wawasan dan fokus besar membangunkan Kalimantan untuk projek ibukota Nusantara mereka, jika Sarawak sudah berada jauh di depan dalam ekonomi berasaskan teknologi hijau dan industri air, maka sudah tentu Sabah juga mempunyai potensi tersendiri untuk dibangunkan.


“Sebab itu, saya cadangkan agar dasar pandang ke Timur dalam negara dapat dibangunkan dengan memberi fokus tambahan membangunkan Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi baharu negara sepertimana pusat-pusat ekonomi di Semenanjung dibangunkan selama ini,” katanya.


Ewon menyampaikan sumbangan zakat usahawan asnaf sejumlah RM30,000 daripada UDA Holdings kepada penerima, turut kelihatan Zamri (kanan) dan Mohd Salleh (tiga dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival UDA Sabah di Lintasan Deasoka di sini, hari ini.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, wawasan dan dasar baharu yang beliau cadangkan tersebut sesuai dengan semangat kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.


“Kita semua tahu bahawa tanpa Sabah dan Sarawak tidak mungkin negara Malaysia wujud pada tahun 1963.


“Justeru, wawasan kita bukan hanya menuntut Perjanjian Malaysia dilaksanakan tetapi kita mahu satu tumpuan yang lebih baik melibatkan kerjasama lebih padu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi membangunkan sektor ekonomi dan keusahawanan di Sabah, membangunkan potensi ekonomi baharu di wilayah ini sepertimana dilaksanakan negara-negara yang berjiran di kepulauan ini,” katanya.


Ewon berkata, antara sektor yang berpotensi untuk dibangunkan di negeri ini ialah pelancongan dan pertanian pintar.



“Kita boleh bangunkan pertanian pintar di Sabah memandangkan kita mempunyai aset iaitu tanah, kita mempunyai populasi penduduk yang agak besar dan berjiran dengan negara (Kalimantan, Indonesia) yang sedang membina kekuatan ekonomi di kawasan Kepulauan Borneo.


“Tambahan pula, pertanian adalah antara lapan fokus pembangunan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara kita, sebab itu saya ingin melihat Sabah menyahut tumpuan ini,” katanya.


Beliau mengakui sektor pertanian adalah antara tumpun kerajaan Sabah selama ini bagaimanapun ia boleh ditambahbaik dengan memberi tumpuan baharu iaitu pertanian pintar.


Mengenai Karnival UDA, Ewon berkata, ia dapat menambahbaik, memperkasa dan melipatgandakan pembudayaan keusahawanan di kalangan rakyat Sabah agar menjadi sebahagian daripada pemain industry di negara ini bermula sebagai usahawan mikro, kecil dan sederhana.


Ewon ketika merasmikan Karnival UDA.

“Dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam pameran, saya percaya ianya juga boleh menghebahkan maklumat-maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi tersebut.


“Di peringkat kementerian, kita telah mengadakan pelbagai program khusus untuk usahawan antaranya, Hari Koperasi Negara (HKN), Bulan Koperasi Kebangsaan dan Minggu PMKS dan seterusnya Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan pada 7 hingga 9 Disember ini.


“Ini menunjukkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi persekutuan telah memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia di Sabah,” katanya dan berharap rakyat Sabah merebut peluang keusahawanan seperti yang dibentangkan dalam Bajet Madani 2024.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany dan ketua-ketua agensi kementerian.



Comments


bottom of page