Ewon hargai tindakan segera KPM tangani isu pembangunan sekolah di DUN Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon hargai tindakan segera KPM tangani isu pembangunan sekolah di DUN Kadamaian

19 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas tindakan segera membantu menangani isu berkaitan kemudahan pembangunan sekolah, di DUN Kadamaian.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagai wakil rakyat kawasan itu, tanggungjawabnya adalah untuk mencari jalan penyelesaian keperluan sekolah selain memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan dan koperasi.


“Saya ucapkan terima kasih kepada saudari Fadhlina (Sidek) kerana sudi menerima undangan untuk mengadakan lawatan lapangan di kawasan DUN Kadamaian untuk meninjau empat buah sekolah iaitu tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.


“Tinjauan lapangan itu bertujuan untuk melihat sendiri permasalahan yang sentiasa saya bangkitkan dengan beliau dan dibangkitkan juga di Dewan Rakyat.


“Dalam banyak perbincangan kami sebelum kabinet, beliau telah bersetuju untuk memenuhi undangan dan hari ini beliau sendiri melihat dan menurunkan peruntukan-peruntukan segera dan juga peruntukan besar termasuk di SK Tamu Darat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan empat buah sekolah di kawasan Kadamaian bersama Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek, di sini, hari ini.

Ewon mengiringi Fadhlina melawat SK Rangalau, SRA Rangalau, SK Tamu Darat dan SMK Narinang yang memerlukan perhatian segera KPM.


“Bagi pihak rakyat Kadamaian khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG ) dan guru-guru, saya mengucapkan terima kasih kepada YB Fadhlina dan Kementerian Pendidikan Malaysia di atas tindakan yang telah diambil untuk membantu wakil rakyat di sini menangani isu berkaitan kemudahan pembangunan pendidikan.


“Saya berharap sekolah-sekolah lain bukan hanya di DUN Kadamaian dan Penampang tetapi seluruh Sabah dan negara mendapat pembelaan.


“Kerajaan ini adalah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat dan memberi tumpuan besar kepada pembangunan sekolah,” katanya.

bottom of page