top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon jejaki usahawan TEKUN Membakut, kenal pasti cadangan pejabat cawangan TEKUN


6 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


MEMBAKUT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menjejaki usahawan TEKUN Membakut dan seterusnya mengenalpasti cadangan premis pejabat cawangan baharu TEKUN di sini.


Beliau berkata, kesemua usahawan yang ditemui menyambut baik perancangan kementerian untuk mewujudkan pejabat TEKUN di kawasan itu.


“Saya berharap pengwujudan pejabat Tekun di Membakut akan memudahkan usahawan-usahawan dan bakal usahawan berurusan dan seterusnya menarik lebih ramai mendapatkan perkhidmatan daripada TEKUN.

“Setakat ini TEKUN Nasional mempunyai 25 cawangan penuh di seluruh Sabah termasuk mini pejabat di Pitas dengan bilangan pegawai dan kakitangan seramai 117 orang.


“Bagi kawasan Membakut, Pejabat Tekun yang berdekatan adalah Pejabat Tekun Beaufort,” katanya selepas program menyantuni usahawan TEKUN, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Pejabat Tekun Membakut dijangka mula beroperasi tahun ini.


Mengenai jumlah usahawan Tekun, beliau berkata, secara keseluruhannya seramai 4,103 peminjam TEKUN kawasan Beaufort sejak pejabat itu beroperasi pada 1998 dengan nilai pembiayaan sebanyak RM43.028 juta.


“Daripada jumlah itu 2,908 orang adalah pembiayaan pertama dan selebihnya pembiayaan ulangan iaitu 2,613 orang peminjam adalah usahawan wanita dan 1,490 usahawan lelaki.


“Tekun juga telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1.226 juta kepada 59 usahawan dari Januari hingga April tahun ini iaitu 21 orang adalah pembiayaan pertama dan selebihnya pembiayaan ulangan.


“Berdasarkan data yang disediakan TEKUN Beaufort, kebanyakan peminjam adalah wanita,” katanya.


Turut serta dalam lawatan itu Pengurus Tekun Sabah Hemin Osumping, Ahli Lembaga Amanah Tekun Datuk Gilbert Sham dan Rowindy Lawrence.

Kommentarer


bottom of page