Ewon rasmi Bank Rakyat cawangan Penampang
29 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyempurnakan perasmian cawangan Bank Rakyat Penampang yang dinaiktaraf bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung.
Beliau berkata, penaiktarafan itu adalah sebahagian daripada perancangan Bank Rakyat untuk menaiktaraf cawangan-cawangan lain di seluruh negara.
“Masyarakat di daerah ini sangat bertuah kerana dapat menikmati pembaharuan dari segi infrastruktur dan fasiliti yang dibawa oleh Bank Rakyat sebagai salah satu usaha berterusannya membantu meningkatkan taraf kehidupan serta ekonomi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Cawangan Bank Rakyat Penampang, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap Bank Rakyat terus memberikan fokus kepada inisiatif pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya di daerah luar bandar seluruh negara, termasuk Sabah menerusi jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta.
“Ini bagi memastikan inisiatif yang digariskan di bawah perancangan Belanjawan 2023 dapat dimanfaatkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di semua peringkat kumpulan sasar.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bank Rakyat atas pelaksanaan Program Aku Mau Kaamatan pada tahun ini bagi menyantuni keluarga B40 yang memerlukan di seluruh Sabah menerusi sumbangan bakul makanan.
“Bukan sahaja bantuan bakul makanan tetapi Bank Rakyat juga memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah di Penampang, Sabah dan seluruh Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Ewon berkata, inisiatif Jangkauan Komuniti Bank Rakyat ini memperlihatkan semangat rakyat Malaysia yang bersatu padu, muhibah dan harmoni.
“Saya berharap agar Bank Rakyat terus gigih dan komited mencapai misinya ‘Memacu kemakmuran ekonomi anggota, pelanggan dan negara bangsa’ dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan negara,” katanya.
Bank Rakyat Cawangan Penampang beroperasi sejak tahun 2007 merupakan antara 13 Cawangan Bank Rakyat di Sabah.
Berkenaan dengan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ewon berkata, ia satu usaha murni berterusan Bank Rakyat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Seramai 80 ketua isi rumah (KIR) dari sekitar Kg.Sugud Penampang menerima sumbangan Bank Rakyat melalui Program Aku Mau Kaamatan.
Selain penaiktarafan premis, Bank Rakyat juga menambah perkhidmatan Bank Bergerak di beberapa daerah di negeri ini seperti di Pitas dan Nabawan atas permintaan rakyat dan wakil rakyat kawasan itu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman, pengurusan tertinggi Kuskop dan ketua-ketua agensi Kuskop dan jawatankuasa pengurusan Bank Rakyat.
Comments