top of page

Ewon sokong hasrat KDCA Putrajaya tubuhkan koperasi, laksana program CSR

  • Wartawan Nabalu News
  • 4 hours ago
  • 2 min read

5 Mei 2025


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Putrajaya untuk menubuhkan koperasi dan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk membantu komuniti di Sabah.


Beliau berkata, ini penting untuk memperkasakan komuniti masyarakat Momogun, bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung.


“Saya menyokong penuh hasrat KDCA Putrajaya untuk menubuhkan Koperasi bagi

memperkasakan penyertaan KDCA Putrajaya dalam aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi.


“Saya akan meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membantu KDCA Putrajaya memproses permohonan agar impian mereka menubuhkan koperasi dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA Putrajaya, di sini, semalam.


Mengenai sambutan itu, Ewon berkata, Pesta Kaamatan merupakan platform penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.


“Saya berharap penganjuran Pesta Kaamatan Putrajaya diteruskan setiap tahun, dan kita semua sama-sama menjadi duta perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini, bermula dari sambutan Pesta Kaamatan Putrajaya.


“Kaamatan bukan sahaja diraikan di Sabah, malah di seluruh negara dan juga luar negara termasuk Kedutaan Malaysia di Vatican yang akan menganjurkan sambutan Kaamatan-Gawai hujung bulan ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi wawasan kementeriannya dalam memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi di Malaysia Timur menerusi pendekatan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP), iaitu memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian.


“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa makna besar kepada usaha menyatukan rakyat dan memperkukuh jaringan keusahawanan serta koperasi dalam komuniti Momogun di perantauan,” katanya.


Pelbagai acara menarik disusun sempena sambutan itu termasuk persembahan nyanyian artis tempatan Sabah, pameran dan jualan produk tempatan Sabah dan pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Putrajaya.

Tati Emelka Ryner dinobatkan juara Unduk Ngadau Peringkat Putrajaya seterusnya mewakili Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Kebangsaan pada 30 dan 31 Mei ini, di Hongkod Koisaan KDCA Penampang.


Tempat kedua dimenangi oleh Tati Wendey Merrylen dan tempat ketiga oleh Tati Rachel Justin.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page