Ewon sokong Karnival Kesihatan Remaja promosi gaya hidup sihat remaja
5 Mei 2024
Okeh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran Karnival Kesihatan Remaja tepat pada masanya untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini penting kerana pencegahan awal adalah lebih baik daripada mengubati.
“Daripada kita membelanjakan peruntukan besar untuk rawatan lebih baik cegah dan pencegahan itu harus bermula daripada kempen kesedaran melalui Karnival Kesihatan Remaja yang dianjurkan pada hari ini.
“Kita mahu golongan membudayakan gaya hidup sihat sehingga dewasa supaya mereka lebih produktif dan menjadi insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan keluarga, negara, negeri dan daerah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Remaja, di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.
Ewon berkata, penganjuran Karnival Kesihatan Remaja juga sesuai dengan dasar kesihatan remaja yang telah diperkenalkan sejak tahun 2001.
“Saya mengalu-alukan dan menyeru semua masyarakat Sabah khususnya di Penampang khususnya ibu bapa supaya memanfaatkan perkhidmatan klinik mesra remaja yang disediakan di Klinik Kesihatan Penampang.
“Agenda Nasional Malaysia Sihat adalah agenda nasional dan ia perlu sampai ke peringkat akar umbi, sebab itu saya memberikan sokongan penuh kepada agenda nasional ini dan berharap karnival pada hari ini mencapai objektif penganjuran,” katanya.
Beliau berkata, sebagai seorang bapa, beliau melihat ada keperluan anak-anak remaja dibimbing supaya mereka membudayakan gaya hidup sihat termasuk persahabatan yang sihat.
“Saya percaya ini akan menjadi asas kepada pembangunan negara kita. Apabila rakyatnya sihat, maka mudahlah kita membangunkan negara kita,” katanya.
Ketika ditanya mengenai golongan remaja yang mengambil minuman alkohol, Ewon berkata, seseorang itu haruslah ada hadnya dan tidak mengambil minuman itu secara berlebihan sehingga memudaratkan kesihatan.
“Ia juga berkaitan dengan penawaran dan permintaan. Kita tidak dapat menghalang usahawan yang ingin membuka perniagaan, pada masa yang sama, kita mengadakan kempen seperti ini supaya pengambilan itu tidak sehingga memudaratkan kesihatan mereka.
“Pada usia remaja, bagi pandangan saya sebagai seorang bapa, saya tidak mahu anak-anak saya mengambil alkohol pada usia remaja. Apabila mereka sudah berdikari dan ada pendapatan sendiri, itu adalah kebebasan mereka.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak ibu bapa yang lain tetapi saya mahu mulakan di peringkat saya sendiri sebagai seorang bapa dan ketua keluarga.
“Pada masa yang sama, saya juga pro usahawan yang ingin menggalakkan penyertaan dalam gerakan keusahawanan tetapi harus ada semak dan imbang, perlu ada keseimbangan dalam penawaran perkhidmatan,” katanya.
Ewon berkata: “Nasihat saya bermula dengan diri sendiri, sekiranya kita mahu minum (minuman tradisi masyarakat Kadazandusun), minum sikit untuk menghormati tuan rumah dan penganjur dan tidak sehingga memudaratkan.
“Itu pandangan saya kerana saya juga mempunyai tradisi saya sendiri yang perlu dipertahankan tetapi harus ada kawalannya dan ada hadnya.
“Biar kita jadikan diri kita contoh bagaimana keseimbangan itu perlu ada, sebagai wakil rakyat dan ketua keluarga, sebagai seorang bapa dan mempromosi perniagaan dan kesedaran amalan gaya hidup sihat, perlu ada keseimbangan dalam pengambilan minuman tradisi,” katanya.
Comments