Ewon sokong Kursus Agro Bestari KEMAS diperluas ke kampung lain di Penampang
nabalunews
9 hours ago
2 min read

11 Oktober 2026
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menyokong peluasan Kursus Agro Bestari anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke kampung-kampung lain di daerah ini bagi membantu membangunkan usahawan tani dan meningkatkan pendapatan penduduk desa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, inisiatif itu berpotensi diperluaskan terutama di zon pertanian Moyog yang merangkumi banyak kampung.

“Saya yakin inisiatif Agro Bestari KEMAS ini boleh diperluaskan ke kampung-kampung lain, terutama di zon pertanian Moyog yang merangkumi banyak kampung. Saya akan terus memberi sokongan dan bersedia menyalurkan peruntukan yang bersesuaian bagi menyediakan kemudahan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kursus Agro Bestari Peringkat Daerah Penampang anjuran KEMAS di Kampung Timpangoh Babagon, di sini, hari ini.

Bagi menyokong pelaksanaan program KEMAS di kampung berkenaan, Ewon bersetuju menyediakan peruntukan pada tahun hadapan untuk membina bangunan Sahabat Komuniti Desa atas permintaan usahawan KEMAS di situ.
“Saya telah bersetuju menyediakan peruntukan pada tahun hadapan untuk membina bangunan Sahabat Komuniti Desa. Kemudahan itu boleh digunakan untuk pelbagai program dan inisiatif Jabatan KEMAS, termasuk Agro Bestari seperti yang dilaksanakan hari ini,” katanya.
Melalui kursus itu, seramai 20 peserta Sahabat Komuniti Desa menerima kit hidroponik, masing-masing satu kit, sebagai usaha membantu mereka mengusahakan tanaman dan meningkatkan pendapatan.
Ewon berharap bimbingan serta bantuan yang diberikan dapat membangunkan peserta sebagai usahawan tani yang mampu memasarkan hasil tanaman ke pasaran lebih luas.
“Mudah-mudahan kursus serta pemberian kit ini dapat membantu membangunkan mereka sebagai usahawan tani yang boleh memasarkan hasil tanaman bukan sahaja di kampung ini, tetapi juga di daerah Penampang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Penampang kerana memilih Kampung Timpangoh Babagon sebagai lokasi penganjuran kursus dan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk dibangunkan melalui Program Agro Bestari.















Comments