top of page

Ewon Sumbang Dana Bagi Menjayakan Sukan Rakyat di Mukim Lasau Kadamaian

  • nabalunews
  • Aug 22, 2025
  • 2 min read

22 Ogos 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada Kelab Belia Kampung Gonok, Kota Belud, bagi tujuan penganjuran program Sukan Rakyat sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68.


Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pemaju Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, yang mewakili Ewon kepada Pengerusi Kelab Belia Kampung Gonok, Ahmad Rafie Titing.


Menurut Ahmad Rafie, sumbangan berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi menjayakan program yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Ogos ini di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Gonok. Tahun ini, Kelab Belia Kampung Gonok telah diberi mandat sebagai penganjur acara tersebut bagi Mukim Lasau.


Beliau menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran Sukan Rakyat adalah untuk memperkukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat mukim Lasau, selain memupuk penghayatan nilai perpaduan tanpa mengira agama mahupun kaum. Program ini juga diharap dapat menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan.


“Kelab Belia Kampung Gonok amat berterima kasih atas sokongan dan sumbangan yang telah diberikan oleh Ewon. Sumbangan ini memberi peluang kepada kami untuk menganjurkan program yang bukan sahaja memperkasa belia, malah menyatukan komuniti setempat,” kata beliau.


Selain itu, Ahmad Rafie menekankan bahawa penganjuran Sukan Rakyat juga berperanan membina kepimpinan belia, menggalakkan semangat kesukanan serta mengekalkan warisan permainan tradisional seperti sepak takraw, dan pelbagai acara rakyat lain.


Sokongan berterusan daripada pemimpin tempatan, katanya, amat penting bagi memastikan penganjuran program seumpama ini terus mendapat sambutan positif masyarakat luar bandar.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ewon kerana sentiasa prihatin terhadap pembangunan belia dan usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat di kawasan Kadamaian, khususnya di Kampung Gonok.


Program Sukan Rakyat anjuran Kelab Belia Kampung Gonok dijangka menjadi landasan kukuh dalam menyatupadukan masyarakat mukim Lasau, selain memperkaya sambutan kemerdekaan dengan aktiviti berbentuk kesukanan dan kebersamaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page