Fairuz Kekal ADUN Pintasan, Petisyen Pandikar Ditolak
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
13 Mac 2026
KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengekalkan kemenangan Datuk Fairuz Renddan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan selepas menolak petisyen yang difailkan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Farisz Gohim Abdullah memutuskan bahawa Fairuz telah dipilih secara sah sebagai wakil rakyat bagi kerusi terbabit. Keputusan itu dibuat selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pasukan guaman Fairuz terhadap petisyen berkenaan.
Petisyen tersebut difailkan oleh calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 22 Disember tahun lalu. Bekas Speaker Dewan Rakyat itu memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRN Sabah November lalu yang menyaksikan Fairuz muncul sebagai pemenang di kerusi DUN Pintasan.
Peguam yang mewakili Fairuz, Rizwandean M Borhan memaklumkan bahawa mahkamah menerima beberapa hujahan bantahan awal, antaranya petisyen didapati cacat kerana gagal menyatakan dengan jelas kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Selain itu, petisyen tersebut juga tidak menepati kehendak peruntukan Seksyen 11(1)(b) serta gagal menyatakan dengan terperinci keputusan sebenar pilihan raya dan pengisytiharan kemenangan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Sehubungan dengan penolakan petisyen tersebut, mahkamah turut mengarahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Fairuz selaku responden. Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun dikeluarkan daripada petisyen berikutan ketiadaan tuduhan khusus terhadap kedua-dua pihak.
Dalam PRN Sabah lalu, Fairuz yang bertanding sebagai calon Bebas berjaya meraih 4,675 undi dalam pertandingan 11 penjuru. Majoriti sebanyak 1,070 undi yang diperolehnya cukup untuk menewaskan Pandikar Amin yang hanya mendapat 3,605 undi.
Selepas keputusan mahkamah diumumkan, Fairuz meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan. Beliau menyatakan komitmen untuk terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Pintasan.











