Gangguan Bekalan Elektrik Jejas 600,000 pengguna Sabah dan Labuan
- nabalunews
- Jul 30, 2025
- 2 min read

30 Julai 2025
KOTA KINABALU: 600,000 pengguna di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (W.P. Labuan) dijangka akan terjejas akibat catuan elektrik bermula Jumaat hingga 7 Ogos depan.
Ia bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan berjadual Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) milik Petronas yang perlu dilaksanakan setiap lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemakluman mengenai penutupan SOGT disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan Petronas itu telah dimaklumkan lebih awal kepada Sabah Electricity dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS).

Malah katanya, pihaknya sudah melakukan persiapan dan koordonasi dengan menggunakan alternatif penggunaan diesel bagi mengelakkan catuan dengan rapi bagi meminimakan kesan kepada pengguna.
“Namun begitu, maklumat terkini mendapati Loji Janakuasa IPP Kimanis Power dan Loji Janakuasa SPRE yang menjadi penyumbang signifikan kepada komposisi penjanaan tenaga di Sabah tidak dapat beroperasi menggunakan bahan api alternatif iaitu diesel sepanjang tempoh penyelenggaran.
“Ia sekaligus menyebabkan kehilangan kapasiti penjanaan sebanyak 195MW dari sistem grid Sabah,” katanya pada sidang media di Pejabat Sabah Electricity, di sini, hari ini.

Menurutnya, catuan akan menjejaskan sekurang-kurangnnya 600,000 pengguna di seluruh Sabah dan Labuan.
Katanya, gangguan bekalan elektrik akan berlaku secara bergilir di setiap kawasan melibatkan daerah-daerah di negeri Sabah dan Labuan.
“Oleh demikian, Sabah Electricity memohon Petronas untuk menangguhkan aktiviti penyelenggaraan Petronas SOGT sehingga kapasiti penjanaan stabil.
“Langkah itu perlu diambil dan amat penting dalam mengekalkan kestabilan dan integriti sistem tenaga elektrik Sabah.
“Sabah Electricity akan bekerjasama rapat dengan semua pihak khususnya loji Penjana Tenaga Bebas (IPP), ECoS dan pihak berkepentingan untuk sentiasa memantau situasi dan melaksanakan tindakan yang perlu dalam usaha meminimumkan sebarang gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan masa catuan bekalan melalui Sabah Electricity Facebook dan aplikasi Sabah Electricity,” katanya.


















Comments