Generasi Muda UPKO Tegas Pertahan Penggunaan Bendera dan Logo Parti Pada PRN17
- nabalunews
- Sep 6
- 1 min read

6 September 2025
KOTA KINABALU: Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan penggunaan bendera dan logo rasmi parti pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) merupakan keputusan penting yang bakal menentukan hala tuju serta kekuatan parti di mata rakyat.
Ketua Generasi Muda UPKO Beluran Emmanuel Atin, berkata bendera UPKO bukan sekadar simbol, tetapi lambang maruah, prinsip perjuangan serta identiti politik rakyat Sabah yang wajar terus dipertahankan.
“Generasi muda melihat penggunaan bendera dan logo UPKO sebagai satu langkah berani yang mencerminkan keyakinan parti terhadap kekuatan sendiri.
“Ia menjadi tanda bahawa UPKO konsisten, tidak goyah, dan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, dalam suasana politik yang semakin mencabar, rakyat memerlukan keyakinan bahawa parti yang mereka sokong mempunyai jati diri yang jelas serta pendirian yang tidak mudah dipengaruhi oleh arus luar.
Katanya, kesinambungan penggunaan bendera dan logo parti dalam PRN17 adalah bukti bahawa UPKO berjuang atas dasar serta prinsipnya sendiri.
“Rakyat akan menghormati parti yang tidak menukar wajah setiap kali pilihan raya, kerana konsistensi itulah yang menanam kepercayaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Emmanuel menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UPKO agar bersatu teguh di bawah panji parti kerana PRN17 merupakan gelanggang penting untuk memperlihatkan kekuatan sebenar UPKO sebagai sebuah parti yang berprinsip, progresif dan berwibawa.


















Comments