top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hampir 5,000 pendatang haram di Sabah dihantar pulang tahun ini – Hajiji


22 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah menghantar pulang 4,730 pendatang haram ke negara asal mereka sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.


Jelas Hajiji, penghantaran pulang itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui udara, darat dan laut.


Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Aliakbar Gulasan yang bertanya mengenai jumlah pendatang haram di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari ini.


Tambah beliau, setakat 27 Julai lepas, terdapat 3,839 tahanan warga asing yang masih berada di empat Depot Imigresen di seluruh Sabah.


"Daripada jumlah yang masih ditahan di Depot Imigresen itu, seramai 3,115 orang merupakan warganegara Filipina, Indonesia (700), Pakistan (6), Vietnam (5), India (2), Thailand (1) dan 10 orang tidak mempunyai kewarganegaraan," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa jumlah warga asing yang melalui pintu masuk yang diwartakan di Sabah sama ada melalui udara, laut dan darat untuk enam bulan pertama tahun ini ialah 288,286 orang melalui laluan antarabangsa dan lebih 1.95 juta melalui laluan domestik.

bottom of page