Hubungan kerja strategik antara kepimpinan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu- Mohd Ishak
- nabalunews
- 23 hours ago
- 1 min read

8 Januari 2026
KENINGAU: Hubungan kerja strategik antara kepimpinan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuhkan demi memastikan aspek perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, usaha itu adalah langkah penting dalam memastikan penduduk awam mendapat khidmat yang terbaik.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat pertamanya ke atas Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau (MDK), Fawzi Abdul Kadir, dalam satu sesi taklimat khas yang berlangsung di bilik mesyuarat MDK, di sini Khamis.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan kerja strategik antara kepimpinan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk kemantapan penyelarasan pentadbiran serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di peringkat daerah.
Selain itu, kunjungan juga adalah bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai fungsi, peranan serta mekanisme operasi MDK dalam mengurus tadbir perkhidmatan dan pembangunan di daerah Keningau, khususnya melibatkan kawasan Bingkor.
Dalam sesi taklimat berkenaan, Fawzi menyampaikan penerangan ringkas berkaitan struktur pentadbiran, skop tanggungjawab serta peranan MDK sebagai agensi pelaksana utama kerajaan di peringkat tempatan, termasuk aspek penyelarasan perkhidmatan awam dan pelaksanaan program pembangunan daerah.
Perbincangan turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat, selaras dengan keperluan memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan berimpak langsung kepada kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Kunjungan hormat ini dilihat sebagai langkah awal ke arah pengukuhan tadbir urus serta penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dan MDK, sekali gus menyokong usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam di daerah Keningau secara keseluruhan.


















Comments