Inisiatif Badan Budaya Nasional Salur Hasil Amal Kepada Golongan Memerlukan Dipuji
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

31 Disember 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Budaya Nasional atas penganjuran Majlis Makan Malam Amal yang telah berlangsung di Putera Ballroom, Kota Kinabalu, pada Selasa.
Majlis berkenaan dihadiri oleh lebih 200 orang tetamu, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, pemimpin komuniti serta penggiat budaya.
Beliau memuji inisiatif murni penganjur yang menyalurkan 20 peratus daripada hasil kutipan majlis tersebut kepada rumah-rumah kebajikan, khususnya bagi golongan kurang upaya dan warga emas di Sabah.

Usaha ini disifatkan sebagai satu contoh keprihatinan sosial yang wajar dicontohi dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan berdaya ihsan.
Menurut beliau, penglibatan organisasi kebudayaan dalam aktiviti kebajikan bukan sahaja memperkukuh pemeliharaan warisan budaya, malah menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.
“Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah sentiasa komited menyokong inisiatif badan bukan kerajaan dan organisasi kebudayaan yang berperanan memperkasa warisan budaya,” katanya.

Beliau berkata, peranan organisasi sedemikian juga penting dalam memperluaskan pendidikan komuniti serta membina jati diri generasi muda.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Puan Mainah @ Jenny, dalam ucapannya menzahirkan harapan agar sokongan serta peruntukan terhadap aktiviti-aktiviti Badan Budaya Nasional dapat terus dipertimbangkan pada masa akan datang.
Menurut beliau, sokongan berterusan tersebut penting bagi membolehkan pelaksanaan program dirancang dengan lebih efisien, tersusun dan berimpak tinggi.

Tambah beliau lagi, usaha berkenaan akan membantu memperkasakan pembangunan budaya serta memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.
Teks ucapan Datuk James Ratib telah dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri, Tuan Justinus Jalang, yang mewakili beliau pada majlis tersebut.
Beliau berharap agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi manfaat berpanjangan kepada rakyat Sabah.


















Comments