Inisiatif projek Tamu Desa sediakan kemudahan infra usahawan kecil di luar bandar - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Inisiatif projek Tamu Desa sediakan kemudahan infra usahawan kecil di luar bandar - Ewon

Ewon meninjau tapak tamu desa Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad sempena Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Parlimen Sipitang.

3 Feb 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SIPITANG: Insiatif pelaksanaan projek tamu desa yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bermula tahun ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan infra kepada usahawan kecil di luar bandar di Sabah dan Sarawak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan Perdana Menteri telahpun bersetuju dan mengumumkan bahawa KUSKOP akan melaksanakan inisiatif tersebut dengan peruntukan sebanyak RM20 juta sepertimana dalam Belanjawan 2024.


“Pada tahun lepas, saya telah mencadangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024 peruntukan bagi membina gerai-gerai usahawan kecil dan menaiktaraf kemudahan tamu-tamu desa di Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri telah bersetuju dan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk inisiatif ini bermula tahun ini.


“Seterusnya semasa sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Penampang pada bulan lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan agar saya dan KUSKOP diberi mandat melaksanakan inisiatif ini.


"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas mandat ini dan akan memastikan peruntukan ini dapat membantu membina kemudahan infra seperti gerai dan tamu-tamu usahawan kecil di luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Koperasi Peringkat Daerah Sipitang di sini, hari ini.


Bersempena dengan program tersebut juga, Ewon turut melancarkan Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad dan seterusnya meninjau tapak cadangan tamu desa yang mahu dibangunkan oleh koperasi tersebut.


Ewon seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk pembinaan gerai tamu desa tersebut.


Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Haji Rusli Jaafar dan Pengerusi Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad Datuk Pangiran Lalung.

bottom of page