top of page
Wartawan Nabalu News

Isu 40%: Firma Guaman tidak lagi wakili kerajaan negeri 

 




24 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan hari ini mengadakan pengurusan kes bagi rayuan Peguam Negara Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada Sabah Law Society untuk meneruskan perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman mereka berkenaan Geran Pemberian Khas 40% Negeri Sabah.

 

Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof berkata, beliau hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah bersama-sama dengan Datuk Brenndon Keith Soh, Penasihat Undang-Undang Khas kepada Ketua Menteri, Devina Teo dan Roland Alik, Peguam Negeri Kerajaan Negeri.

 

“Mahkamah Rayuan dimaklumkan bahawa Tetuan F.T. Ahmad & Co tidak lagi bertindak mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan pengurusan perkara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

 

Nor Asiah menjelaskan setelah meneliti dan mengkaji perkara itu serta prosiding yang telah berlangsung, Mahkamah Rayuan dimaklumkan mengenai pendirian-pendirian berikut:

 

“Memandangkan Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 November 2022, Kerajaan Negeri menerima keputusan yang diberikan, iaitu, kebenaran diberikan untuk perkara ini dibahaskan berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman;

 

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri menarik balik semua hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai isu "locus standi" Sabah Law Society kerana isu ini tidak dibangkitkan atau dihujahkan di Mahkamah Tinggi oleh Kerajaan Negeri; dan

 

“Kerajaan Negeri menarik balik hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai “aspirasi” dan bukan hak mandatori atau mutlak Negeri Sabah,” jelas beliau.

 

Katanya lagi, Mahkamah Rayuan telah merekodkan pendirian-pendirian ini dan telah menetapkan tarikh 18 Jun 2024 untuk menyampaikan keputusan bagi perkara ini.

 

“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri komited sepenuhnya dan berpendirian teguh dalam mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

 

 

Comments


bottom of page