Isu Kebersihan Semporna: Kerajaan negeri ambil tindakan segera

21 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan mengambil tindakan segera untuk menangani isu kebersihan di Semporna yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Persekutuan Datuk Seri Tiong King Sing.
Terdahulu, menurut Tiong, pelancong telah membuat aduan mengenai keadaan persekitaran Semporna yang kotor (sampah sarap di merata tempat), kes keracunan makanan, serangan seranga liar dan perkhidmatan pelanggan yang teruk.
Oleh itu, beliau telah memohon MOTAC Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyerahkan cadangan dan pelan tindakan bagi menyelesaikan aduan terbabit dalam tempoh tiga hari.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan kebersihan awam, kesihatan dan keselamatan di Semporna yang merupakan destinasi pelancongan utama di negeri itu.
"Saya telah melaporkan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang kemudian mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera," katanya.
Tambah beliau, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan yang berada dalam bidang kuasa Taman-Taman Sabah iaitu agensi bernaung dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) akan sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Majlis Daerah Semporna pula menjelaskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Menteri Persekutuan tidak mencerminkan keadaan sebenar di daerah itu. Majlis Daerah Semporna juga memberikan jaminan bahawa langkah drastik sedang dirangka untuk meningkatkan kekerapan kerja-kerja pembersihan di persisiran pantai dan premis perniagaan.
Selain itu, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk memindahkan penduduk setinggan dengan tujuan mengurangkan risiko pembuangan sampah di lautan.
Dalam pada itu, satu sesi perbincangan juga akan diadakan dengan penduduk-penduduk di pulau berhampiran Semporna dalam usaha mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
Christina Liew berharap agar amaran Menteri Persekutuan tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Semporna secara keseluruhannya. Beliau juga menyeru agar semua pihak bekerjasama untuk mempromosikan imej positif Semporna sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan bersih.
Comments