Jabatan kerajaan tangani isu-isu pembangunan di Penampang - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jabatan kerajaan tangani isu-isu pembangunan di Penampang - Ewon

24 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyatakan jabatan-jabatan kerajaan sedang menangani isu-isu pembangunan di Penampang termasuk punca-punca yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projekk-projek pembangunan berkenaan.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara punca kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek di Penampang ialah pelantikan juruperunding oleh jabatan teknikal, pengambilan dan pemilikan tanah, keperluan peruntukan tambahan pemindahan tiang dan kabel utiliti melibatkan pelbagai agensi dan ubahsuai skop projek yang melibatkan proses kelulusan.


Antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Penampang ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Kawasan Lido, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, projek naiktaraf lebuhraya Penampang Kasigui, projek pembinaan SMK Kipouvo dan pemasangan lampu-lampu jalan serta pembinaan Tamu Donggongon dan klinik kesihatan Penampang.

Beberapa projek baharu yang dikenalpasti untuk dilaksanakan ialah pembinaan loji bekalan air terawat Moyog, jambatan Babagon Timpangoh dan sekolah baharu.


“Saya memantau sendiri prestasi pelaksanaan projek-projek pembangunan di Penampang termasuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan sekiranya ada keperluan untuk saya bangkitkan dengan rakan menteri, saya akan bawa kepada perhatian mereka.


“Bagaimanapun, saya gembira kerana semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam projek-projek pembangunan ini sedang menangani isu-isu dan punca-punca keterlewatan projek pembangunan.


"Saya berharap semua projek pembangunan ini dapat disiapkan seberapa segera yang boleh untuk manfaat kepada rakyat di Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang, di Majlis Daerah Penampang, hari ini.


Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, membincangkan pelbagai isu termasuk status semasa dan tindakan penyelesaian projek-projek pembangunan dalam daerah Penampang.


Turut hadir Adun Kapayan Jannie Lasimbang dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di Penampang.

bottom of page