Jadikan Teknologi Pemangkin Perkukuh Peranan Pustakawan - James

29 Sept 2026
KOTA KINABALU: Teknologi perlu dijadikan sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan peranan pustakawan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kecerdasan buatan, pendigitalan, automasi, media sosial dan pelbagai platform digital mengubah cara manusia mendapatkan, menghasilkan serta berkongsi maklumat.
"Perubahan ini turut memberikan cabaran besar kepada institusi perpustakaan.
"Namun, saya melihat perubahan teknologi bukan sebagai ancaman kepada perpustakaan sebaliknya sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan peranan pustakawan.

"Perpustakaan mesti terus berkembang daripada sekadar menjadi tempat mendapatkan bahan bacaan kepada sebuah hab ilmu, pembelajaran, inovasi dan komuniti.
"Pustakawan masa depan bukan sahaja mempunyai kemahiran mengurus koleksi dan sumber maklumat tetapi perlu mempunyai keupayaan dalam literasi digital, teknologi, pengurusan data, komunikasi dan pemikiran kritis," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pustakawan Borneo 2026 (PPB2026) di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada pembangunan modal insan kerana kemajuan sesebuah negara bergantung kepada masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
"Dalam konteks ini, pustakawan merupakan antara kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam ekosistem ilmu.
"Saya berharap para pustakawan di Sabah dan seluruh Borneo akan terus meningkatkan kompetensi serta bersedia menerima perubahan," ujarnya.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula 29 hingga 30 September itu dihadiri kira-kira 100 orang pustakawan dari seluruh Malaysia dan juga Brunei Darussalam.
Hadir sama, wakil Naib Canselor UMS, Zawawi Tiyunin, Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah, Md Sazali Md Salleh dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw./Penerangan-















Comments