top of page

Jambatan baharu Tamparuli dijangka siap 2029

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

8 Januari 2026


KOTA KINABALU: Projek pembinaan jambatan baharu di Tamparuli dijangka siap sepenuhnya pada 2029, melibatkan struktur berkembar yang kekal dan lebih tinggi berbanding jambatan Low Level Crossing (LLC) sedia ada.


Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, langkah berkenaan merupakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan rakyat, sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya.


"Peruntukan bagi projek pembinaan jambatan baharu ini sudah diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, kerja-kerja penyediaan spesifikasi dan reka bentuk jambatan sedang dijalankan, dengan tender dijangka dibuka pada Oktober 2026,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya jambatan LLC sedia ada dikekalkan sebagai tarikan pelancongan, sementara jambatan baharu dibina di tapak bersebelahan.


Cadangan itu, katanya, akan dibawa ke perhatian Jawatankuasa Daerah untuk pertimbangan secara menyeluruh sebelum dimuktamadkan.

Terdahulu, Setiausaha Politik beliau, Dr Bonaventure Boniface, mengadakan tinjauan ke jambatan LLC Tamparuli susulan keadaan semasa jambatan yang tular di media sosial, sekali gus mengenal pasti langkah penyelesaian sewajarnya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.


"Bagi penyelesaian jangka pendek, pengukuhan jambatan akan dilaksanakan melalui pemasangan tiga hingga empat set i-Beam oleh syarikat konsesi jalan, Globinaco, menggunakan peruntukan sedia ada.


"Sehubungan itu, jalan berkenaan akan ditutup selama dua hingga tiga bulan bagi membolehkan kerja-kerja pengukuhan dijalankan dengan selamat," ujarnya.


Menurut Joachim, apabila dibuka semula kelak, penggunaan jambatan itu hanya dibenarkan kepada kenderaan dengan muatan di bawah lima tan sahaja.


Dalam pada itu, jelasnya, perkara tersebut akan terus diberi perhatian dan tindakan susulan akan dibuat melalui Mesyuarat Pasca Kabinet bagi memastikan sebarang keputusan serta pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat.


“Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran perhubungan rakyat, khususnya di kawasan Tamparuli,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page