• Marryan Razan

JMG Sabah sahkan 'emas' di Pitas adalah 'Fools Gold'



Sumber gambar FB

11 November 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah mengesahkan bahawa ‘emas’ yang ditemui di sebuah kampung di Pitas sebenarnya bukan emas tetapi mineral yang dikenali sebagai ‘pyrite’ atau ‘Fools Gold’.


Timbalan Pengarah Sumber Mineral JMG Sabah yang juga menanggung tugas pengarah, Webster Wong Vui Chung berkata, berdasarkan siasatan pegawai JMG di tempat yang dikatakan ada 'emas' hanya menjumpai mineral pyrite.


Ditanya sama ada pihak JMG pernah menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan isu yang sama, beliau berkata: “Sebelum ini memang ada tapi masa itu belum ada facebook, whatsapp, Insta dan lain-lain”.


“Individu itu sendiri datang ke pejabat kami dan membawa sampel mendakwa ada 'emas' di tempat dia,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


Bukan emas tetapi mineral yang dikenali sebagai ‘pyrite’ atau ‘Fools Gold’.

Sebelum ini tular di media sosial penemuan batu seakan-akan 'emas' di kawasan pembinaan jalan berhampiran Kampung Boluoh Bongkol Pitas.


Dalam laporan Astro AWANI pada 7 Jun 2019, Sabah merupakan antara negeri di Malaysia mempunyai potensi perlombongan emas yang besar berdasarkan kepada sumber-sumber yang dikenal pasti daripada kerja-kerja cari gali dan penjelajahan yang dijalankan.


Bagaimanapun, hanya sebuah yang beroperasi iaitu di Balung, Tawau. Lombong berkenaan mula membuat pengeluaran emas pada September 2018 dan sehingga Mac 2019, sebanyak 230,000 gram emas telah direkodkan dengan nilai lebih kurang RM40 juta.


Menurut laporan itu, Sabah masih mempunyai beberapa kawasan lain yang telah dikenal pasti mempunyai sumber emas untuk dibangunkan antaranya Ranau, West Sualog dan Kiabau.