top of page
  • nabalunews

Juara Lagu KENINGAUfm 2024 tonjolkan keunikan dan keindahan hasil seni di pedalaman

8 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Sembilan buah lagu akan dipertandingkan dalam JUARA LAGU KENINGAUfm 2024 yang bakal berlangsung di Dewan Masyarakat Keningau pada 10 Ogos ini.


Pertandingan terbitan Stesen Penyiaran KENINGAUfm sejak tahun 2014 ini akan diadakan secara dwitahunan bermula tahun ini dan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada lagu-lagu tempatan di pedalaman untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selain memberi pengiktirafan kepada usaha dan kreativiti penggiat seni tempatan khususnya dalam bidang nyanyian.


Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim berkata JUARA LAGU KENINGAUfm yang dianjurkan buat kali ke-7 ini akan menampilkan gubahan muzik dan lirik terbaik hasil karya pengiat seni di kawasan pedalaman.


"Pencalonan diperoleh daripada lagu-lagu berbahasa Melayu, Dusun dan Murut yang telah mendapat undian terbanyak dan menjadi Juara Mingguan dalam Carta Lagu terbitan setiap unit sepanjang dua tahun" katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Beliau berkata, 1 lagu akan dinobatkan sebagai Juara Lagu bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Bahasa Dusun, Bahasa Melayu dan Bahasa Murut.


"Untuk tahun ini, 3 lagu yang dicalonkan bagi kategori Bahasa Dusun ialah 'Pintutunan Toruhai' yang akan dinyanyikan oleh Verus Vily dan lirik serta lagu adalah ciptaan beliau sendiri.


Lagu lain yang dicalonkan adalah 'Inggaa Kaagal Dika', dinyanyikan oleh Erdeeyona Christopher. Lirik dan lagu ini adalah hasil

ciptaan Rolland Francis.


Turut dicalonkan, lagu "Mandad Tupus Nu" lirik oleh Bodrick Paulus Aip dan lagu ciptaan bersama beliau dan Zackiddin Zachry yang juga penyanyi lagu ini.


Lagu yang dipertandingkan dalam

Kategori Bahasa Malaysia pula ialah 'Jangan Marah-marah' dimana penyanyi, pencipta lirik dan lagu adalah Sharin Amud Shapri.


Lagu kedua dipertandingkan untuk kategori ini ialah 'Terbang Bebas' nyanyian Juline Taraie, lagu dan lirik ciptaan Masrani Tumas dan Dinna Libou.


Turut dipertandingkan dalam kategori ini ialah lagu 'Pernah Bahagia', lagu dan lirik ciptaan Ardie Surya dan Chychy Alinjiran.


Penyanyi lagu ini iaitu ChyChy Alinjiran sebelum ini pernah dinobatkan juara

JUARA LAGU KENINGAUfm bagi Kategori Bahasa Malaysia pada tahun 2022.


Bagi kategori Bahasa Murut, 3 lagu yang dipertandingkan adalah 'Kaando Vokon Tinumalaf' yang dinyanyikan Salherah Salleh manakala lirik dan lagu hasil ciptaan Gasiun Ann Felix.


Turut bertanding untuk kategori Murut ialah lagu 'Totovon Nu Huang", dendangan

Nurfaziana Emran, lagu dan lirik oleh Masrani Tumas dan Dinna Liboum


Lagu ketiga yang dipertandingkan untuk kategori Murut berjodol 'Kaando Kaingkatahan" dinyanyikan Jordan Jubilin. Lagu ini serta lirik dicipta oleh Gasiun Ann Felix.


Juara untuk setiap kategori bakal memenangi hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi.


Manakala pemenang kategori persembahan terbaik, vokal terbaik dan lirik terbaik akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.


Pertandingan ini akan disiarkan secara langsung di stesen radio KENINGAUfm dan SABAHVfm serta turut dirakamkan untuk siaran RTMKlik.


Turut memeriahkan pertandingan ini ialah persembahan daripada Juara Carta Lagu SabahVfm dan juga finalis Bintang RTM 2024, Eylia Guntabid serta artis yang tular dengan lagu 'Sumiloh Poh Bulan', Sitipah Jahamin.


Buat julung kalinya, penganjuran JUARA LAGU KENINGAUfm ini turut mendapat tajaan kerajaan negeri Sabah.  


Majlis dijangka dihadiri oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Jeffery Kitingan.

Comments


bottom of page