Junik Lancar Cawangan UPKO Kampung Nanapokan, Terima 53 Ahli Baharu
- nabalunews
- Sep 2
- 2 min read

2 September 2025
TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus memperkukuh kedudukan politiknya di peringkat akar umbi khususnya di kawasan Parlimen Tenom dengan pelancaran cawangan baharu.
Ketua Bahagian Tenom, Junik Bajit yang merasmikan Cawangan UPKO baharu di Kampung Nanapokan itu turut menyaksikan kemasukan seramai 53 ahli terdiri daripada anak muda dan wanita.
Junik berkata, penyertaan ahli baharu itu dilihat sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan hala tuju UPKO di Tenom.

Katanya, perkembangan itu bukan saja memperlihatkan sokongan berterusan terhadap UPKO, malah menandakan gelombang kebangkitan rakyat di kawasan luar bandar yang mahu suara mereka didengari.
“Kemasukan 53 ahli baharu ini adalah satu isyarat jelas bahawa rakyat Kampung Nanapokan percaya kepada perjuangan kita.
“UPKO akan terus dekat dengan rakyat, mendengar suara mereka, dan memperjuangkan isu-isu setempat secara konsisten,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan, semalam.

Junik berkata, pelancaran cawangan di Kampung Nanapokan melengkapkan strategi UPKO Melalap untuk mengembangkan jentera parti di kawasan Tenom.
“Dengan keahlian baharu itu, UPKO menegaskan komited untuk menjadi parti yang benar-benar berpaksikan suara rakyat, khususnya dalam memperjuangkan isu tanah adat, peluang ekonomi belia, pembangunan infrastruktur asas serta akses pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.
“Penglibatan golongan wanita dan anak muda dalam cawangan ini juga dilihat sebagai perkembangan positif, sejajar dengan agenda parti yang menekankan penyertaan inklusif dalam politik,” katanya.
Sementara itu, Junik berkata, sebagai satu-satunya parti tempatan dalam komponen Pakatan Harapan (PH), UPKO dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keseimbangan politik di Sabah.
“Pelancaran cawangan dan kemasukan ahli baharu ini adalah antara indikator awal sokongan rakyat di kawasan pedalaman.
“UPKO berpotensi untuk menguasai kerusi-kerusi tradisi KDM sekiranya strategi akar umbi ini diteruskan secara konsisten,” katanya.
Menurutnya, pertambahan sokongan rakyat, menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh jentera UPKO khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap menjelang PRN yang akan datang.


















Comments