Karnival Kesihatan Remaja: Membentuk Generasi Seimbang dan Sihat
10 November 2024
KOTA BELUD: Karnival Kesihatan Remaja 2024 peringkat daerah Kota Belud dengan tema "Remaja Madani, Harapan Negara" telah berlangsung dengan meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud, hari ini.
Karnival Kesihatan Remaja ini diadakan sebagai platform bagi memupuk kesedaran kesihatan dalam kalangan generasi muda di Kota Belud serta memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi generasi Madani yang sihat dan berwawasan.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pasukan Pelindung Kanak-kanak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Kota Belud, Persatuan Pergigian Sepanjang Hayat, KEMAS, dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Dr. Rizoh Bosorang, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hadir sebagai tetamu kehormat mewakili Ewon.
Turut hadir Dr. Fathman Arumugam, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Kesihatan Kawasan Tuaran, serta Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton.
Karnival ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.
Antaranya para pengunjung berpeluang melawat pelbagai reruai pameran yang menyediakan maklumat berkaitan kesihatan dan kesejahteraan remaja.
Aktiviti "Youth Explorace" yang penuh cabaran dan menyeronokkan, direka khas untuk menguji kekuatan fizikal dan mental para remaja dalam suasana yang menyeronokkan.
Pameran yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit thalassemia dalam kalangan remaja, serta memberi maklumat pencegahan dan rawatan.
Bagi memeriahkan lagi acara, sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi oleh para peserta.
Karnival kesihatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para remaja tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal, mental, dan emosi sejak usia muda.
Dengan tema "Remaja Madani Harapan Bangsa," program ini mencerminkan harapan untuk melihat generasi remaja yang seimbang, sihat, dan berdaya maju.
Dalam ucapan Ewon yang disampaikan oleh Dr. Rizoh, Ewon berkata remaja juga terdedah kepada pelbagai isu kesihatan yang membimbangkan seperti masalah kesihatan mental, depresi, buli siber, dan isu berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif.
"Menurut Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, statistik masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin meningkat.
"Kajian mendapati kadar rancangan dan percubaan bunuh diri meningkat dari 6% pada tahun 2012 kepada 9-10% pada 2022, manakala kadar kemurungan melonjak dari 17.7% pada 2012 kepada 26.9% pada 2022.
"Masalah pemakanan tidak sihat dan berat badan berlebihan juga dilaporkan meningkat," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata statistik ini menunjukkan keperluan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi.
"Oleh itu, karnival ini berfungsi sebagai platform bagi remaja untuk memahami peranan mereka dalam menjaga kesihatan diri melalui aktiviti positif dan khidmat nasihat pakar.
"Salah satu inisiatif utama dalam karnival ini adalah pengenalan program KBCARE4u, sebuah perkhidmatan klinik mesra remaja di Klinik Kesihatan Kota Belud.
"Melalui KBCARE4u, remaja mendapat akses kepada perkhidmatan komprehensif yang merangkumi aspek kesihatan fizikal, mental, sosial, dan rohani," katanya.
Klinik ini diwujudkan untuk menyediakan rawatan dalam suasana yang selesa dan mesra, serta mendekaAtkan perkhidmatan kesihatan kepada remaja.
"Harapan besar diletakkan pada KBCARE4u untuk melibatkan lebih banyak kerjasama dengan agensi luar dan sektor swasta bagi memperluaskan manfaat program ini kepada lebih ramai remaja di Kota Belud," tambahnya.
Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk membantu remaja mengamalkan gaya hidup sihat.
Antaranya ialah Senamrobik dan Amazing Youth Explorace.
Para remaja juga berpeluang mendapatkan maklumat kesihatan dan khidmat nasihat.
Doktor pakar memberikan ceramah untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan semasa.
Sepanjang karnival, remaja boleh mengetahui status kesihatan mereka secara menyeluruh.
Ewon mengingatkan semua remaja untuk memanfaatkan peluang ini bagi mengenali dan memahami kepentingan menjaga kesihatan.
"Karnival ini adalah titik permulaan untuk melibatkan diri secara aktif dalam menjaga kesihatan diri. Ingatlah, kesihatan yang baik adalah aset utama dalam mengejar impian dan mencapai kejayaan.
"Gunakanlah KBCARE4u sebagai pusat rujukan bagi apa-apa permasalahan kesihatan anda, dan jadilah remaja yang Madani dan sihat," katanya.
Comments