Karnival TEKUN Madani Sempena Pesta Kaamatan di Kota Belud
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 2 min read

13 Mei 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan menganjurkan Karnival TEKUN Madani sempena sambutan Pesta Kaamatan bermula 15 hingga 17 Mei ini.
Karnival selama tiga berkenaan akan berlangsung di Dewan Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.
Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence Odong berkata, penganjuran karnival itu merupakan salah satu inisiatif TEKUN bagi memperkukuh jaringan usahawan.

Katanya, ia juga bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan Bumiputera.
“Karnival ini menjadi platform kepada usahawan mikro untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada mereka meneroka peluang pasaran baharu,” katanya ketika ditemui selepas temu bual eksklusif bersama Sabah FM, di sini, hari ini.

Rowindy berkata, pelbagai agensi kerajaan khususnya di bawah KUSKOP terlibat dalam menyediakan reruai dan kaunter perkhidmatan.
Katanya, ia berfungsi sebagai pemberi maklumat berkenaan peluang serta kemudahan dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
“Antara agensi yang terlibat ialah TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), UDA Holdings, Bank Rakyat, SME Bank serta SME Corp Malaysia.

“Di reruai TEKUN, orang ramai boleh membuat semakan permohonan pembiayaan secara dalam talian, semakan akaun pembiayaan serta urusan pembayaran balik,” katanya.
Selain itu katanya, agensi seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan turut menyertai karnival berkenaan.
“Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang tiga hari karnival berkenaan termasuk pameran dan jualan produk usahawan tempatan, persembahan artis tempatan serta acara pertandingan.
“Di samping itu, Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) akan turut menganjurkan bengkel percuma pembuatan bakul anyaman dan barangan kraf aksesori.
“Begitu juga Platform e-dagang TikTok Shop yang akan membuka reruai khas termasuk sesi live streaming oleh usahawan tempatan dari Studio LIVE mereka.
“Program ini turut menampilkan Jualan Murah Madani SKM yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan,” katanya.
Rowindy berkata, penganjuran karnival seumpama ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang lebih beridealisme, proaktif dan kreatif melalui penyertaan aktif dalam program pembangunan keusahawanan.
“Orang ramai dijemput menghadiri karnival itu yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran,” katanya.