top of page

Katedral St. Francis Xavier Keningau Terima Sumbangan Daripada UPKO Untuk Persiapan Ziarah Jubli 2025

  • nabalunews
  • May 1
  • 2 min read


ree

1 Mei 2025


KENINGAU: Komitmen untuk menyokong keharmonian antara agama dan masyarakat terus diperlihatkan oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) apabila sumbangan derma telah disalurkan kepada pihak gereja Katedral St. Francis Xavier Keningau bagi persiapan Ziarah Tahun Jubli 2025.


Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu, Ketua Bahagian UPKO Keningau, telah mewakili Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut semalam, 30 April 2025 kepada Rev Fr. Msgr. Gilbert yang mewakili pihak Katedral St. Francis Xavier Keningau.


Majlis tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan berupa dana untuk pembelian pelbagai peralatan penting, antaranya pintu gelangsar berukuran 204" x 84", papan iklan sebesar 12" x 8", kain rentang 14" x 14", maskot rasmi Ziarah Jubli 2025, serta bahan binaan seperti cat, papan lapis dan besi.


Sumbangan ini merupakan inisiatif berterusan UPKO dalam menjayakan sambutan keagamaan yang bakal menjadi acara penting di daerah tersebut. Ewon dilaporkan telah meluluskan peruntukan tersebut lebih awal sebagai tanda sokongan terhadap program keagamaan yang bersifat inklusif dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.


“Kita ingin pastikan komuniti Kristian, khususnya di Keningau, mendapat sokongan yang sewajarnya dalam menganjurkan acara penting seperti ini,” kata Dr. Laurentius semasa menyerahkan sumbangan tersebut.


Beliau turut menyatakan bahawa UPKO melihat acara seperti Ziarah Tahun Jubli bukan sahaja sebagai acara keagamaan, tetapi sebagai peluang memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.


Turut hadir dalam program penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John, Timbalan Ketua Bahagian Japrin Tunjan, Ketua Pemuda UPKO Keningau, Jeffsonzo Japrin; serta Ketua Generasi Muda, Muhammad Haisam Hamzani. Kehadiran barisan kepimpinan ini menunjukkan kesepaduan dalam menjayakan misi sosial dan keagamaan parti.


Rev Fr. Msgr. Gilbert turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang diterima dan berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat seluruh komuniti.


Dengan sumbangan dan persiapan yang sedang giat dijalankan, Katedral St. Francis Xavier Keningau kini semakin bersedia untuk menyambut ribuan jemaah sempena Ziarah Tahun Jubli 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara terbesar dalam kalendar keagamaan daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page