- nabalunews
Kebakaran di Likas, 5 mangsa rentung
30 September 2024
KOTA KINABALU: 5 rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 3 rumah setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas dekat Kota Kinabalu, tengahari tadi.
Turut musnah dalam kejadian itu, sebuah stor, sebuah kedai runcit dan dua buah kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.47 tengahari.
Katanya 48 pegawai dan anggota bersama 3 jentera pemadam api, 2 water tanker dan 2 kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut bomba, kebakaran melibatkan 3 buah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 520 meter persegi yang terbakar 100%.
Operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 122 meter 4 pancutan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
Kebakaran dapat dikawal jam 1.29 petang manakala pasukan bomba masih lagi menjalankan operasi memadamkan bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terlibat, setakat jam 5.56 petang tadi.
Menurut kenyataan bomba, terdapat 5 orang mangsa dilaporkan rentung.
Mangsa yang meninggal dunia berusia dalam lingkungan 3 tahun hingga 14 tahun.
Menurut bomba, maklumat akan di kemaskini dari semasa ke semasa.
Comments