Keharmonian, Keamanan Negara Tanggungjawab Bersama - Jonathan
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

22 Ogos 2026
RANAU : Usaha memastikan negara terus maju dalam suasana aman dan harmoni adalah tanggungjawab bersama.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin berkata, keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat hari ini merupakan satu amanah yang perlu dijaga kerana masih terdapat negara lain yang berdepan konflik dan peperangan sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat.
"Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan rakyat untuk membangunkan negara serta memelihara keharmonian yang menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat.
"Kedua-dua hari bersejarah ini bukan disambut hanya sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu mengingatkan rakyat terhadap tanggungjawab bersama untuk memastikan negara terus maju dalam suasana aman dan harmoni.
"Bila kita meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah ini, kita tidak hanya mahu meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, tapi kita mahu supaya ada pengisian di dalamnya," katanya ketika berucap di Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 Daerah Ranau di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, rakyat perlu menghargai kemerdekaan dengan bekerja keras membangunkan negara, selain memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat terus dipelihara.
"Kita meraikannya kerana di dalam negara ini kita telah berusaha untuk bekerja keras untuk membangunkan negara ini.
"Bukan saja bekerja keras tetapi juga memelihara keharmonian dan perpaduan di dalam rakyat," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang telah terbina bagi memastikan kehidupan masyarakat serta pembangunan negara dapat diteruskan dengan baik.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, Jabatan Penerangan bersama peserta konvoi daripada pelbagai agensi terus menyokong usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026.
Beliau berkata, KMJG menjadi antara inisiatif untuk membawa mesej patriotisme dan sambutan kemerdekaan lebih dekat kepada masyarakat di daerah yang dilalui./Penerangan-















Comments