top of page

Kejohanan Liga Penalti Kampung Ratau Terima Sokongan Daripada Pemuda UPKO Kota Belud

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

1 Jun 2025


KOTA BELUD: Persatuan Belia Kampung Ratau terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan agenda pembangunan belia apabila berjaya menganjurkan Kejohanan Liga Penalti Tertutup Kampung Ratau pada 31 Mei lalu. Kejohanan ini telah mendapat suntikan semangat daripada Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran.


Sumbangan tersebut telah disampaikan secara rasmi oleh Ketua Pemuda UPKO Cawangan Kampung Ratau, Charlton Lejimin, yang mewakili Jolyhame kepada Pengerusi Persatuan Belia Kampung Ratau, Davis Balandi. Penyerahan ini menunjukkan sokongan berterusan UPKO terhadap inisiatif-inisiatif belia di peringkat akar umbi.


Menurut Davis, kejohanan ini dirancang khusus untuk menyemarakkan budaya kesukanan dalam kalangan belia di samping memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti Kampung Ratau. Program ini juga dilihat sebagai medium berkesan untuk merangsang penyertaan aktif golongan muda dalam aktiviti sihat serta memperlihatkan komitmen mereka terhadap pembangunan sosial setempat.


"Selain menggalakkan gaya hidup sihat, kejohanan ini menjadi platform membina jaringan positif antara belia dan komuniti, selaras dengan aspirasi kami untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan proaktif," ujar beliau.


Pihak persatuan turut menzahirkan penghargaan kepada Pemuda UPKO Kota Belud atas sokongan yang diberikan, khususnya dalam usaha menggerakkan pelbagai agenda pembangunan belia di kawasan Kadamaian.


Kejohanan tersebut telah diadakan sempena cuti umum Pesta Kaamatan dan berlangsung di Padang Kampung Ratau. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran penduduk setempat yang hadir memberi sokongan kepada pasukan-pasukan bertanding.


Dengan pelaksanaan kejohanan ini, Persatuan Belia Kampung Ratau berharap ia dapat dijadikan acara tahunan yang lebih tersusun dan inklusif pada masa hadapan. Kejohanan seperti ini jelas memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian komuniti serta memperkasa belia sebagai peneraju masa depan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page