Kekurangan Tenaga Kerja di Hospital Kinabatangan Ditangani Secara Berperingkat
- nabalunews
- 13 hours ago
- 2 min read

16 Februari 2026
KINABATANGAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengakui sedang berdepan cabaran operasi berikutan kekurangan pegawai perubatan di Hospital Kinabatangan, namun pelbagai langkah segera telah dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat terus berjalan dengan selamat dan terkawal.
Menurut kenyataan media JKNS, hospital berkenaan sejak November 2025 hanya beroperasi dengan sembilan orang pegawai perubatan termasuk Pengarah Hospital, berikutan perpindahan keluar beberapa orang pegawai tanpa penggantian secara serentak.
Pada Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menawarkan sembilan jawatan tetap bagi mengisi kekosongan tersebut. Walau bagaimanapun, hanya seorang pegawai yang melaporkan diri dan kini sedang mengikuti program kepakaran, justeru belum dapat ditugaskan sepenuhnya di Hospital Kinabatangan.
Bagi memastikan kesinambungan rawatan serta mengurangkan beban tugas petugas sedia ada, JKNS bersama Hospital Kluster Sandakan telah melaksanakan beberapa langkah intervensi.
Antara langkah utama adalah mobilisasi pegawai perubatan secara berkala dari Hospital Duchess of Kent, Hospital Beluran dan Hospital Lahad Datu ke Hospital Kinabatangan. Langkah ini bertujuan untuk menstabilkan jumlah petugas kepada sekitar 10 orang pada satu-satu masa.
Selain itu, kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan turut membolehkan penempatan dua orang pegawai perubatan tambahan bagi membantu operasi Jabatan Pesakit Luar sejak November lalu.
Pihak pengurusan hospital juga melaksanakan pemantauan rapi terhadap pengagihan tugas bagi memastikan perkhidmatan di zon-zon kritikal seperti Unit Kecemasan, wad-wad serta Jabatan Pesakit Luar terus beroperasi dengan selamat dan teratur.
JKNS memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan bilangan pegawai perubatan kekal sekitar 10 orang sementara menunggu proses pengambilan baharu, sama ada secara kontrak atau tetap, dilaksanakan sepenuhnya.
Dalam kenyataan yang sama, JKNS menegaskan bahawa situasi di Hospital Kinabatangan dipandang serius dan penghargaan tidak terhingga dirakamkan kepada semua petugas kesihatan yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan sumber manusia.
Keutamaan jabatan adalah memastikan keselamatan pesakit serta kualiti rawatan sentiasa terpelihara. Orang ramai turut dimohon untuk memberi kerjasama dan memahami keadaan semasa sementara usaha pengisian jawatan tetap sedang dipergiatkan.


















Comments