Kem SHIELDS usaha terbaik elak pelajar terbabit dadah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kem SHIELDS usaha terbaik elak pelajar terbabit dadah


Peserta menjalani salah satu aktiviti fizikal semasa perkhemahan.

25 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Kem ‘Sayangi Hidup Elak Dadah Selamanya’ (SHIELDS) selama tiga hari di SMK Mat Salleh Ranau merupakan inisiatif cemerlang bagi mengelak pelajar sekolah terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.


Kem yang berakhir kelmarin (24 Julai) itu dianjurkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau, dengan kerjasama SMK Mat Salleh Ranau dan AADK Kudat serta Kota Kinabalu disertai 50 pelajar sekolah menengah terpilih.


Agensi dan jabatan lain yang turut terlibat menjayakan perkhemahan itu ialah Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dan Pejabat Kesihatan Daerah Ranau.


Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperkukuh ketahanan diri pelajar berumur 13 hingga 18 tahun yang dikenal pasti berisiko penyalahgunaan dadah.



Antara objektif kem ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta tentang kesan dan bahaya penyalahgunaan bahan yang antara lain boleh mengakibatkan pelbagai masalah perubatan termasuk kecederaan buah pinggang.


Selain itu, kajian menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah juga jelas menjadi kebimbangan kesihatan awam, terutamanya dalam kalangan pesakit muda dengan fungsi buah pinggang yang tidak normal.


Melalui program ini, para pelajar dapat mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, di mana pengetahuan dan kemahiran tersebut dapat meningkatkan prestasi sekolah mereka serta memupuk hubungan sihat.


Kemahiran yang diperolehi juga dapat membantu mereka menangani tekanan rakan sebaya, membawa kepada tingkah laku yang mencegah penyakit dan kecederaan, dan membolehkan mereka untuk mengambil peranan kepimpinan.


Samdin (tengah) menerima cenderahati daripada Hazrie.

Antara pengisian kem selama tiga hari itu ialah ceramah dan Soal Jawab oleh agensi dan jabatan terlibat, Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Sesi Perkongsian oleh klien AADK kepada peserta dan Aktiviti Kebudayaan dan Apresiasi pada malam terakhir.


Program tersebut dirasmikan Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani yang diwakili oleh Pengerusi JK Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Ranau, Samdin Rijin.


Beliau memuji dedikasi serta semangat penganjur dalam menjayakan penganjuran acara itu selama tiga hari, dan menggalakkan mereka meneruskan usaha penganjuran pada masa akan datang.


“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan dilaksanakan di semua sekolah di daerah ini. Saya juga menyeru semua agensi dan masyarakat membantu AADK Ranau dalam usaha membanteras dadah di daerah ini,” katanya.


Turut hadir Ketua AADK Ranau, Hazrie Attin, wakil Ketua Polis Daerah Ranau, Insp. Muhammad Nabil Afif Abdul Rahman, wakil PPD Ranau, Sinusi Ganir dan Penyelaras PPDa SMK Mat Salleh Ranau, George Stephen.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page