“Kemajuan Berasaskan Integriti” jadi manifesto calon UPKO DUN Petagas
- nabalunews
- 44 minutes ago
- 2 min read

19 November 2025
KOTA KINABALU: “Kemajuan Berasaskan Integriti” dengan enam teras utama menjadi manifesto calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan (DUN) Petagas, Jason Lee.
Ia merangkumi perjuangan hak Sabah, pembangunan ekonomi rakyat, infrastruktur seimbang, pemerkasaan belia dan pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan sosial, serta pentadbiran telus.
Jason berkata manifesto tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk Petagas dan aspirasi untuk melihat masa depan Sabah yang lebih adil, makmur dan bermaruah.

Antara fokus utama beliau adalah untuk memastikan hak Sabah terus diutamakan, termasuk mempertahankan Perjanjian Malaysia (MA63), memperjuangkan autonomi negeri serta memastikan perkongsian hasil yang lebih adil untuk pembangunan negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan layanan seimbang dalam pendidikan, infrastruktur dan perkhidmatan awam selain memastikan dasar serta pelaksanaan pembangunan menghormati keperluan dan kepentingan negeri.
Pada masa sama, beliau juga memfokuskan kepada pengukuhan ekonomi rakyat, termasuk pembangunan ekonomi komuniti melalui koperasi tani, nelayan dan usahawan kecil, di samping memperkasakan subsidi bersasar kepada golongan B40.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada penyediaan latihan, bimbingan dan akses pembiayaan kepada belia dan wanita bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi.
Dalam aspek infrastruktur pula, Jason menekankan keperluan untuk memastikan tiada kawasan terpinggir.
Antara komitmen beliau ialah menaiktaraf jalan berturap ke semua kampung, memastikan akses air bersih dan elektrik yang stabil, memperluas jaringan internet 4G/5G serta meningkatkan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Isu pendidikan dan generasi muda turut menjadi tumpuan dengan cadangan pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang B40, peluasan latihan kemahiran digital untuk belia serta pengukuhan pendidikan teknikal dan kemahiran.
Selain itu, penubuhan Dana Usahawan Belia Sabah sebagai modal permulaan kepada belia yang ingin memulakan perniagaan turut ditampilkan beliau dalam agenda pemerkasaan golongan tersebut.
Dalam masa sama, Jason juga bertekad untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan komuniti selain menggalakkan aktiviti komuniti antaranya menerusi program sukan dan kebudayaan bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan penduduk Petagas.
Akhir sekali, Jason menekankan kepentingan pentadbiran telus dan bersih, berlandaskan integriti serta akauntabiliti.
Antara langkah yang digariskan ialah pelaksanaan pentadbiran digital mesra rakyat bagi mengurangkan birokrasi, penubuhan Unit Ombudsman Rakyat Sabah serta penambahbaikan proses penyampaian perkhidmatan awam yang efisien.


















Comments