top of page

Kemenangan di Karanaan, Masidi nafi dakwaan rasuah

  • nabalunews
  • Dec 28, 2025
  • 2 min read

28 Disember 2025


KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun menafikan dakwaan wujudnya rasuah serta pelanggaran peraturan pilihan raya semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17, baru-baru ini.


Ia susulan tindakan semakan kehakiman yang difailkan seorang calon bebas, Naomi @ Neomi Francis, bagi mencabar kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.


Masidi berkata dakwaan yang dibangkitkan oleh Naomi adalah tidak berasas, tidak disokong fakta serta disifatkan sebagai cubaan melemahkan proses demokrasi dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya.


“Saya menafikan secara tegas sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran peraturan pilihan raya semasa PRN Sabah lalu,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).


Beliau turut menegaskan bahawa kempen GRS dilaksanakan sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang berlandaskan ketelusan dan integriti.


Namun katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Naomi mempunyai hak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.


“Kami kekal komited untuk mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan memastikan suara rakyat dihormati,” ujarnya.


Terdahulu, Naomi dilaporkan memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi membatalkan pengisytiharan keputusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta menuntut pilihan raya baharu diadakan di Karanaan.


Menurut laporan Malaysiakini, kes berkenaan dijadualkan untuk sebutan pada 4 Februari tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew, dengan Masidi dan SPR dinamakan sebagai defendan.


Naomi dilaporkan mendakwa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab perundangan dan perlembagaannya bagi memastikan pilihan raya di Karanaan berlangsung secara adil dan mematuhi undang-undang.


Beliau turut mendakwa proses pilihan raya di kawasan itu terjejas akibat ‘amalan rasuah yang berleluasa’, termasuk pembelian undi serta pengaruh tidak wajar terhadap pengundi, termasuk dakwaan pemberian wang tunai antara RM100 hingga RM200 di beberapa lokasi.


Naomi juga mendakwa wujud ‘ketidakaturan material’ dalam pengendalian proses pengundian, termasuk dakwaan ejen pengundiannya dinafikan akses, selain isu berkaitan penyediaan Borang 14, iaitu penyata keputusan pengundian selepas pengiraan.


Masidi memenangi kerusi DUN Karanaan dengan majoriti 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Warisan, UPKO dan Naomi, yang memperoleh 115 undi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page