Kenyataan ADUN Warisan Mengelirukan - Pemuda PGRS
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

5 Januari 2026
KOTA KINABALU: Kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan yang mengaitkan peningkatan jumlah bukan warganegara di Sabah dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah mengelirukan.
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dalam satu kenyataan berkata, kenyataan itu juga tidak berlandaskan tafsiran tepat data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Cubaan Warisan memutarbelitkan data berkenaan jelas menunjukkan usaha menutup rekod lama mereka dalam isu PATI.
"Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi, sebaliknya penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, istilah bukan warganegara tidak semestinya bermaksud individu yang berada di negara ini secara tidak sah, sebaliknya termasuk Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, tanggungan mereka serta pelajar.
Hakikatnya, menurut sayap pemuda itu, golongan PADI membentuk majoriti dalam kategori bukan warganegara manakala PATI hanyalah sebahagian kecil, berbeza dengan gambaran yang didakwa disampaikan pimpinan Warisan tersebut.
"Peningkatan jumlah ini turut dipengaruhi oleh faktor pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, migrasi ekonomi ke bandar utama seperti Kota Kinabalu serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu.
“Pendataan ini tidak mewujudkan kemasukan baharu, sebaliknya mendedahkan jumlah sebenar pekerja sedia ada yang sebelum ini tidak direkodkan secara telus," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, pemuda PGRS menegaskan, pihaknya kekal konsisten bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri perlu ditangani berasaskan data yang tepat, penguatkuasaan berkesan serta dasar yang bertanggungjawab, bukannya melalui permainan persepsi politik.


















Comments