top of page

Kenyataan Junz Wong persoal isu kawalan LPG jelas bermotif politik dan cubaan mengelirukan brakyat – Armizan

  • 8 hours ago
  • 2 min read

Armizan merluangkan masa menyantuni rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di majlis itu.
Armizan merluangkan masa menyantuni rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di majlis itu.

23 Mei 2025


INANAM: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong yang mempersoalkan isu kawalan bekalan Gas Petroleum Cecair (LPG) sebagai bermotif politik dan cubaan mengelirukan rakyat.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia kerana Junz Wong meletakkan tuduhan kepada Kerajaan Negeri dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta mengaitkan tentang pilihan raya negeri.


“Hakikatnya, perkara yang disentuh bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pengumuman harga maksimum musim perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, di Dewan Pisompuruan, Kg Kobuni, Inanam, dekat sini hari ini.


Armizan berkata, sebagai wakil rakyat daripada parti Warisan yang menganggotai Kerajaan Persekutuan, adalah tidak wajar Junz Wong sengaja mencalar imej Kerajaan Persekutuan dengan kenyataan yang mengelirukan.


“Pertama, perkara yang disentuh bukanlah satu dasar atau peraturan baharu di bawah Kerajaan Madani dan bukanlah pemotongan subsidi sebagaimana didakwa.


Hakikatnya, hal ini terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telahpun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran Kerajaan lalu.


Kedua, apa yang beliau sebut sebagai notis tersebut bukanlah satu dokumen kompaun kesalahan tetapi merupakan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis yang merupakan dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan.

Ini termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN yang berkaitan seperti pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan Permit Barang Kawalan.


Ketiga, Apa yang disentuh berkait LPG adalah merujuk kepada Peraturan yang diwartakan pada 2021 tersebut yang mengkehendaki mana-mana pihak yang menyimpan LPG di premis pada satu-satu masa melebihi kadar 42 kilogram (melebihi 3 tong LPG 14 kg) perlu untuk memohon Permit Barang Kawalan,” katanya.


Sehubungan itu, kata Armizan mana-mana pihak yang tidak menyimpan atau menggunakan melebihi had berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan Permit Barang Kawalan.


“Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai ramly burger yang beliau sebutkan perlu untuk menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42 kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar.


Keempat, YB Junz Wong memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat, tanpa menyebut bahawa subsidi LPG ini juga datangnya daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai,” katanya.


Armizan berkata, adalah tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung melalui duit rakyat.


Beliau turut mencabar Junz Wong untuk mengemukakan sebarang kes khusus berhubung perniagaan kecil yang benar-benar terkesan agar pihaknya dapat membuat semakan sewajarnya.


“Sekiranya YB Tanjung Aru ada kes spesifik mana-mana perniagaan yang perlu menggunakan LPG melebihi 42 kg pada satu satu masa, saya mohon maklumkan saya.


Kita boleh semak sama ada premis-premis perniagaan ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga yang berpatutan, sekiranya kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan subsidi duit rakyat digunakan untuk operasi perniagaan mereka.

Perlu diingat, subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024. Ini adalah salah satu jenis subsidi kepenggunaan, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan,” tegasnya.


Majlis itu turut dihadiri Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap ADUN Inanam, Peto Galim dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Roland Chia.

Kommentarer


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page