Kerajaan Akan Perhebat Bantuan PMKS di Sandakan dan Kinabatangan
- nabalunews
- 59 minutes ago
- 1 min read

12 Januari 2026
SANDAKAN: Kerajaan akan mempergiat bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sandakan dan Kinabatangan dengan penglibatan lebih meluas agensi berkaitan.
Ia salah satu usaha berterusan bagi memanfaatkan lagi potensi pelancongan tempatan sebagai pemacu ekonomi komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Alamin, berkata pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan setiap bentuk bantuan yang disalurkan benar-benar menepati keperluan usahawan di peringkat akar umbi.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada peniaga kecil, penjaja serta usahawan mikro yang berpotensi untuk berkembang, terutama melalui sektor pelancongan yang mampu menjana pendapatan mampan kepada komuniti setempat.
“KUSKOP menyediakan dana yang signifikan dan sempena Tahun Melawat Malaysia, lebih banyak peruntukan akan disalurkan kepada industri pelancongan termasuk pembangunan homestay, penaiktarafan jeti pelancongan serta penambahan aset pelancongan.
“Banyak ruang boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi setempat. Sebab itu saya perlu turun lebih kerap dan memperbanyakkan libat urus supaya bantuan sampai terus kepada kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi libat urus bersama usahawan tempatan di Pulau Tanjung Aru, Sandakan.
Mohammad berkata, kerjasama bersepadu melibatkan pelbagai agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan bantuan lebih berkesan.
Katanya, ia sekali gus membantu mengangkat potensi pelancongan tempatan dan memperkukuh kedudukan PMKS di Sandakan serta Kinabatangan.














