top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan negeri tubuh TPNS bantu anak tempatan sambung belajar


20 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr. Ghulam Haidar Khan berkata kerajaan telah menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membolehkan anak-anak tempatan mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.


“Inilah usaha dan pendekatan terbaik kerajaan melahirkan modal insan, selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah ini, di mana Kumpulan Yayasan Sabah menjadi penggerak utamanya, kerajaan akan pastikan kemudahan ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.


“Justeru itu, anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan tapi kurang berkemampuan, sewajarnya memanfaatkan kemudahan ini, supaya nantinya Sabah dapat memiliki modal insan berkualiti tinggi, demi memacu pembangunan pada masa hadapan,” ujarnya.


Beliau turut menggesa warga pendidik agar menitikberatkan aspek kualiti dalam rangka membangunkan agenda pendidikan kepada anak-anak.


“Seperti yang selalu saya katakan, pendidikan merupakan asas ke arah pembangunan bangsa dan negara.


“Justeru, para pegawai pendidikan serta tenaga pendidik memikul tanggungjawab besar dalam memastikan matlamat ini tercapai.


“Kita harus memberi fokus kepada kepentingan kualiti sebagai daya saing dalam menghadapi dunia persaingan global masa kini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Ke-5 SMK Kinarut Sesi 2022/2023 di sini, pada Sabtu.


Pada majlis tersebut, Ghulam menyampaikan sijil graduasi 55 pelajar Tingkatan 6, di samping beberapa anugerah lain.


Antaranya, Anugerah Pencapaian Pelajar Terbaik STPM 2022/2023 yang Nur Amiezah Amran, 20, yang berjaya mencapai kejayaan dalam STPM dengan CGPA 4.00.

Comments


bottom of page