Kerajaan Perpaduan Tubuh Jawatankuasa Teknikal Hadapi PRN Sabah
- nabalunews
- Aug 20, 2025
- 1 min read

20 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan pada Selasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya Kajian Separuh Penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri dibentangkan kepada majlis berkenaan.
“Ia bagi melihat perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama di samping menghormati perspektif berbeza parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Dr Asyraf berkata, mesyuarat turut bersetuju menilai pencapaian semasa kerajaan termasuk mengambil kira semua teguran yang dikemukakan terhadap pentadbiran semasa, sebagai sebahagian usaha dalam memperkukuh dasar dan tadbir urus negara.
Selain itu, katanya mesyuarat juga memberi fokus kepada usaha-usaha pemantapan ekonomi negara serta pelaksanaan program kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia dan Perdana Menteri yang berjaya mewujudkan perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja.















Comments