top of page

Kereta Rempuh Belakang Lori Treler, Satu Maut

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 1 min read

8 April 2026


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas kenderaan dinaiki dipercayai merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, lelaki berusia berusia lingkungan 50-an yang dikatakan duduk di penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.37 malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 6 kilometer dari BBP Lintas.


“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Perodua Axia.


“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, dua mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Axia tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan operasi menggunakan peralatan khas.


“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.


“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.


Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page