Kereta Terbabas Dan Terbakar. Pemandu Selamat
- nabalunews
- Oct 15
- 1 min read

15 Oktober 2025
PAPAR: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya merempuh tiang elektrik dan terbakar dalam kejadian di pekan Papar berhampiran Public Bank, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun yang memandu Perodua Myvi itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas sempat keluar dari kenderaan malang berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.51 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya pasukan di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah terbakar 100 peratus selepas dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 27 tahun terlibat, namun berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sehingga api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3 pagi.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 3.28 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.


















Comments