Kereta Terbakar, Lelaki Melecur
- nabalunews
- 14 minutes ago
- 1 min read

23 Disember 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur selepas kereta dinaiki tiba-tiba terbakar dalam kejadian berhampiran kawasan Wawasan Plaza Sentral, Api-Api, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang dipercayai pemandu Van Toyota Liteace itu dilaporkan melecur di bahagian belakang badan.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Hanis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis van yang terbakar 100 peratus. Pasukan Bomba yang tiba di lokasi terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula.
“Terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan melecur 7 peratus di bahagian belakang badan dan diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.28 malam.














