top of page

Kerjasama BN-PH Selaras Dengan Semangat Madani Kerajaan Perpaduan

  • nabalunews
  • Apr 14
  • 2 min read


14 April 2025


KOTA KINABALU: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selaras dengan semangat Madani yang diamalkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan.


Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya.


Perkara berkenaan seharusnya dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat.


Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, beliau mengambil maklum pengumuman yang dibuat Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung kerjasama di antara BN dan PH pada PRN17.


“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya.


“Walaubagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Beliau mengulas lanjut berhubung pengumuman Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah mengenai kerjasama BN dan PH Sabah pada PRN17 nanti yang dikatakan sudah dimuktamadkan.


Jin Zhe berkata, pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa dan DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti.


Katanya, ia boleh dijayakan kerana kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.


“Kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.


“Justeru itu, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik,” katanya.


Menurutnya, DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page