Kerjasama padu antara wakil rakyat penting untuk pembangunan Penampang: Ewon
- Wartawan Nabalu News
- 2 days ago
- 2 min read

1 Jun 2025
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama erat antara wakil rakyat dan pemimpin kerajaan amat penting bagi memastikan kejayaan pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, hubungan baik dan kerjasama berterusan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang membolehkan pelbagai program dan pelan pembangunan dilaksanakan dengan lebih lancar di Penampang, khususnya di kawasan Kapayan.
“Setiap kali ada keperluan, masalah atau perkara berkaitan pembangunan di Penampang, pejabat saya bersama Pusat Khidmat ADUN Kapayan akan duduk berbincang untuk mencari jalan terbaik membantu masyarakat kita. Kami tidak bekerja dalam silo, tetapi sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan DUN Kapayan, yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Shim.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, Timbalan Menteri perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr.Kelvin Yii.
Ewon berkata, hasil kerjasama itu juga membolehkan Pelan Pembangunan Penampang 2024–2035 diwujudkan yang kini menjadi antara input utama dalam cadangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk pembangunan Parlimen Penampang.
Beliau berkata, dengan kerjasama wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin kerajaan, beberapa menteri persekutuan telah melawat Penampang untuk melihat sendiri beberapa keperluan masyarakat Penampang termasuk projek tebatan banjir dan pembangunan lain yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Saya yakin melalui pelan yang dirangka dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Kabinet Persekutuan dan kerajaan negeri, Penampang akan menerima limpahan pembangunan yang lebih besar dalam RMK13.

“Dengan kehadiran rakan-rakan sejawatan dalam Kabinet Persekutuan di Penampang, kita yakin nilai pembangunan Penampang, sama ada di Kapayan mahupun Moyog akan terus ditingkatkan,” katanya.
Ewon berkata, antara projek utama yang sedang berjalan di Penampang ketika ini termasuk projek tebatan banjir, penaiktarafan jalan raya Terian-Buayan, pembinaan jambatan di Babagon dan pelaksanaan Program PANTAS di Kg.Togudon.
Katanya lagi, bagi Kementeriannya sahaja, setakat ini beberapa pejabat agensi telah diwujudkan, antaranya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TEKUN Nasional, Hab PMKS dan kemudahan Live Studio di Pejabat Tekun Penampang.
Selain itu, Projek Tamu Desa juga dilaksanakan di Penampang untuk kemudahan para peniaga tamu dan usahawan kecil.
Mengenai sambutan Kaamatan, Ewon berkata sambutan Kaamatan diraikan secara inklusif oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau budaya.
“Ini selaras dengan tema ‘Kaamatan Untuk Semua’. Kaamatan bukan hanya milik masyarakat Kadazandusun dan disambut di Sabah, tetapi juga turut disambut di luar negara oleh masyarakat Sabah khususnya Kadazandusun di negara berkenaan,” katanya.
Comments