Langkah strategik KUSKOP–Sabah Electricity perkasa PMKS Sabah
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read
Updated: 12 hours ago

23 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Electricity bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah inisiatif Pembangunan Vendor Nasional.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, sebagai manifestasi komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, khususnya di Sabah.
Melalui MoU ini, Sabah Electricity dilantik sebagai syarikat Anchor baharu di bawah PPV, menjadikannya Anchor pertama dari Sabah yang menyertai program tersebut.
Ewon berkata, inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan vendor Bumiputera tempatan melalui pelbagai aktiviti pembangunan kapasiti, peningkatan keupayaan teknikal serta peluasan rantaian bekalan dalam sektor tenaga.

Beliau berkata pelantikan Sabah Electricity sebagai Anchor merupakan langkah strategik untuk memperkukuh agenda penskalaan PMKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan nasional dan serantau.
“Kehadiran syarikat Anchor baharu dari Sabah diyakini dapat memperkukuh agenda pembangunan vendor negeri melalui peluasan akses pasaran, peningkatan keupayaan inovasi serta peluang kerjasama strategik.
“Usaha ini juga dijangka menjana limpahan ekonomi kepada komuniti usahawan tempatan,” katanya.

Di bawah pelaksanaan PPV, Kementerian Kewangan menyediakan kemudahan insentif potongan cukai dua kali ganda kepada syarikat Anchor yang terlibat, manakala KUSKOPbertanggungjawab memproses dan menyokong permohonan tersebut.
Sehingga September 2025, sebanyak 20 syarikat vendor berdaftar di bawah Program Pembangunan Vendor di Sabah, melibatkan lima Anchor sedia ada termasuk SD Guthrie, TM Technology Services Sdn. Bhd., Uzma Engineering Sdn. Bhd., TH Plantations Berhad dan Ameen Products Sdn. Bhd.
Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Sabah merekodkan tujuh penerima manfaat di bawah dua program utama, iaitu Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM3 juta.
Untuk RMK-13, KUSKOP menyasarkan 15 penerima manfaat di Sabah, bersamaan 12.5 peratus daripada sasaran nasional, melibatkan lima penerima bagi GIPV dan 10 bagi PPKV, dengan unjuran keseluruhan pembiayaan sebanyak RM57 juta, termasuk RM11.5 juta bagi fasa pertama 2026 (RP1).

MoU ini berkuat kuasa selama tiga tahun dan akan dilanjutkan secara automatik bagi tempoh tambahan tiga tahun sekiranya tiada notis pembatalan daripada pihak syarikat Anchor.
Walaupun tidak mengikat secara perundangan, MoU ini memastikan kepentingan kedua-dua pihak serta Kerajaan sentiasa terpelihara secara adil dan saksama.
“Sebagai peneraju agenda pembangunan keusahawanan dan koperasi negara, KUSKOPterus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi inklusif melalui pemerkasaan vendor tempatan serta peluasan peluang pasaran.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, kemampanan dan keadilan ekonomi agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” katanya.


















Comments